Resepi Ayam Golek Istimewa FCU Untuk Dua ekor Ayam besar
Bahan perap:
-2 biji limau nipis
-Kunyit hidup dan kunyit serbuk secukup kuning
(Kunyit hidup memang sedap digunakan dalam masakan tetapi apabila
digunakan dengan banyak untuk dapatkan warna kuning secukupnya, akan
menghasilkan rasa kurang enak)
-Lada hitam yang ditumbuk kasar secukupnya.
(Kita boleh nampak butiran hitam pada ayam yang menyerlahkan lagi kesegaran ayam)
-Satu labu bawang putih ditumbuk hancur
-2 inci halia
-Garam halus
(Jangan terlalu masin kerana kita akan masak dengan kuah nanti dan juga
kita akan makan ayam ini dengan sos. Masin ayam peram yang ala kadar
akan menyerlahkan rasa ayam tersebut.)
-Gula perang atau gula biasa pun boleh. Juga sekadar sahaja seperti garam.
(Kelebihan guna gula perang memang dah terbukti sehat daripada gula
putih. Rasanya juga lebih kepada madu. Harganya agak mahal sedikit tapi
berbalui )
-2 sudu besar serbuk ketumbar
-1/3 cawan minyak.
(Saya guna minyak zaitun untuk rasa yang lebih enak dan zat yang lebih baik)
-1 kiub perasa ayam knorr untuk mereka yang mahu rasa ayam yang lebih kaw.
Hendaklah dilumurkan keseluruh ayam termasuk bahagian dalam dan juga di
bawah kulit ayam. Perlu cermat semasa memasukkan rempah ke bawah kulit
ayam agar kulitnya tidak koyak. Ayam tidak akan kelihatan cantik apabila
kulitnya cacat. Peraplah selama 3 jam atau lebih. Saya perap satu hari
satu malam (24 jam). Memang sedap rasa ayam kerana rempah dah meresap ke
segenap isi ayam.Lagi pun proses ini lebih memberi kita ruang untuk
lebih santai masa memasak. Sebahagian proses sudah dibuat hari
sebelumnya. Taklah kelam kabut. Masukkan dalam bekas tertutup. Saya
gunakan dulang yang ditutup dengan plastik beg sahaja.
Bahan Untuk Sos Ayam:
-1 biji kelapa besar diambil santan pekat.
-2 batang serai yang diketuk
-Serbuk lada hitam yang ditumbuk kasar
-2 sudu besar biji ketumbar yang ditumbuk kasar
-Gula perang secukup manisnya.
-Garam secukup masin
-vinegar apple secukup masamnya
( Boleh juga menggunakan limau nipis. Vinegar apple memang berkhasiat.
Masakan Western banyak guna vinegar apple tetapi tidak masakan kita.
Boleh cuba untuk kelainan. Lagi pun harganya tidaklah mahal)
-1 labu bawang besar yang ditumbuk halus.
-Serbuk kunyit secukup kuningnya
(Elakkan mengisar bawang putih atau bawang merah melainkan bila
diperlukan dalam kuantiti yang banyak dan membebankan kita untuk
menumbuknya. Memang rasa lebih enak jika ditumbuk. Inilah rahsia
kesedepan masakan. Cara masak yang berlainan untuk bahan yang sama akan
menghasilkan rasa yang berlainan)
Cara masak:
Setelah diperap 24 jam dalam peti ais, bau ayam sungguh menyelerakan
walaupun belum dimasak. Bawang putih dan halia mewujudkan satu gabungan
bau yang cukup segar buat ayam perap itu. Apalagi dengan kunyit hidup
dan lada hitam, menghasilkan satu kelazatan yang tersendiri. Gabungan
ini sangat seimbang dan ini adalah faktor yang terpenting dalam
kelazatan Ayam Golek Istimewa.
1) Ambil air lebihan dari perapan ayam dan campurkan dengan santan
pekat. Lebihan kelapa yang diperah, dikisar lagi untuk santan yang lebih
cair sebanyak 1 cawan.
2) Masakkan santan ini dengan bawang tumbuk dan serai yang di titik.
3) Masukkan gula, kunyit, garam dan vinegar apple secukup rasa. Kalau anda suka kuah yang banyak, lebihkan lagi kuantiti santan.
4) Masak seekor demi seekor ayam tadi dengan api yang kecil sahaja .
Kalau api besar, kulit ayam akan jadi hancur dan hangus.Ayam golek sudah
tak cantik. Gunakan 2 senduk untuk menyenangkan proses membalikkan ayam
agar tidak relai. Jangan biarkan lama tanpa dibalikkan kerana ayam akan
hangus. Bila ayam dah separuh masak , boleh angkat dan masak lagi
seekor. Bakar dalam oven hingga masak. Elakkan masak terlalu lama kerana
isi ayam akan jadi keras. Ayam yang lembut lebih juicy dan enak. Untuk
check samaada ayam dah masak ke belum, boleh cucuk ayam tadi. Andai
masih ada air keluar dari lubang tempat kita cucuk, menunjukkan ayam
belum masak.
5) Kuah ayam akan jadi pekat kerana lemak ayam semasa memasak. Hidangkan
kuah ini bersama ayam. Boleh juga dimakan dengan sos thai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan